Thursday, December 24, 2009

AMIRULISLAM: Dosa-dosa yang menutup pintu hati 1


AMIRULISLAM:Dosa-dosa yang menutup pintu hati

BAB 1: MAKSIAT DAN DOSA

NABI SAW telah bersabda, yang bermaksud : "Jauhilah tujuh macam dosa." Para sahabat bertanya, "Apakah yang tujuh itu, wahai Rasulullah?" Nabi menjawab : "Menyekutukan Allah (syirik), sihir, membunuh tanpa hak, memakan riba, makn harta anak yatim, lari dari perang dan menuduh wanita baik-baik melakukan zina".

Nabi pernah juga bersabda yang bermaksud, "Dosa besar itu ialah menyekutukan Allah (syirik) dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa."

Pada suatu ketika Nabi pernah ditanya orang, "Apakah dosa yang paling besar?" Nabi menjawab, "Jika anda menyekutukan Allah, sedang anda tahu bahawa Dialah yang menciptakan dirimu." Orang tersebut bertanya lagi, "Selain itu, apa lagi?" Nabi menjawab, "Jika anda membunuh anak sendiri kerana takut tidak mampu memberi makannya." Kemudian ia bertanya lagi, "Apalagi, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Jika anda berzina dengan isteri jiran tetangga anda."

Di tempat lain, Nabi telah bersabda yang bermaksud, "Aku peringatkan kepada kamu tentang dosa yang paling besar iaitu perkataan yang buruk," atau baginda berkata lagi, "Kesaksian yang jahat!"

Pada suatu hari Nabi pernah ditanya apa-apa dosa besar itu, maka baginda menjelaskan, selain menyebut yang tujuh perkara yang telah disebutnya tadi, baginda menambah lagi, "Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa dan menghalalkan Baitulharam (Kaabah), sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Nasai.

Pernah disebutkan di samping Nabi tentang dosa besar, sebagai berikut ini: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua-dua ibu bapa, sedang ketika itu baginda sedang duduk bersandar, tiba-tiba baginda merasa terpanggil untuk ikut bersuara, "Bukan itu sahaja, tapi ucapan yang buruk dan kesaksian yang jahat juga!" Baginda mengulang-ulangnya berkali-kali sehingga kami ingin kiranya baginda diam sahaja.

Sesungguhnya orang mukmin yang meninggalkan dosa-dosa besar, akan berpeluang diberi keampunan terhadap dosa-dosanya yang kecil. Hal demikian, Allah telah berfirman:

إِن تَجۡتَنِبُواْ ڪَبَآٮِٕرَ مَا تُنۡہَوۡنَ عَنۡهُ نُكَفِّرۡ عَنكُمۡ سَيِّـَٔاتِكُمۡ وَنُدۡخِلۡڪُم مُّدۡخَلاً۬ كَرِيمً۬ا (٣١)
"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang ditegah kamu melakukannya, akan Kami hapuskan daripada kamu dosa-dosa yang kecil."

( Surah an-Nisa' : 31)

Sebab, dosa yang dilakukan seseorang tidak ubah seperti habuk yang melekat di hatinya. sebab itulah (basirah) tertutup untuk menerima sebarang kebaikan, walaupun mata zahirnya tetap boleh melihat dengan terang. Hal itu, dosa-dosa yang membalut hati seseorang menjadi pendinding daripada melihat perkara-perkara yang baik. Hal ini biasanya disebabkan orang tersenut ada salah satu sifat-sifat di bawah ini:

Pertama, sifat Ketuhanan (Rububiyyah)
-Sifat Rububiyyah ini pasti disertai sifat-sifat seperti takbur, bermegah-megah, suka dipuji serta disanjung dan sebagainya.

Kedua, sifat sifat Syaitaniyyah.
-Sifat Syaitaniyyah ini pula diiringi oleh sifat-sifat seperti dengki, zalim, tipu helah, memperdaya, pembohong, nifaq, menyuruh berbuat kebinasaan dan sifat-sifat buruk lainnya.

Ketiga, sifat Kebinatangan
- Sifat ini pula akan melahirkan nafsu tidak terbatas, memenuhi perut dengan apa sahaja, suka mencuri dan sebagainya.

Keempat dan terakhir ialah sifat bengis dan kasar(sab'iyyah)
- Sifat ini akan diikuti oleh sifat-sifat seperti cepat marah, pendengki, suka menyerang, memukul, membunuh dan lain-lain sifat yang ada unsur keganasan dan kekejaman.

Di antara keempat-empat sifat tersebut di atas, jika disusun mengikut tahapnya maka urutannya seperti yang berikut ini:

Pertama, sifat kebinatangan dan sifat yang kedua sifat kebuasan lalu sifat ini diberi nama syaitaniyyah dan akhirnya lahirlah sifat rububiyyah pada diri orang berkenaan.

Sekarang mari kita bincangkan pula jenis-jenis dosa yang tergolong dalam induk dosa yang bertempat di dalam hati manusia. Antara lain seperti kekufuran, nifaq(kemunafikkan), pandai menyembunyikan buruknya niat di dalam hati dan sebagainya.

Selain dosa yang bertempat di hati, banyak pula dosa yang letaknya di mana, pendengaran dan di seluruh tubuh secara bersama.

1.1 PEMBAHAGIAN DOSA

Dosa wujud apabila si hamba tidak menunaikan hak-hak Khaliknya. Dosa jenis ini lebih mudah dan lebih dekat kepada keampunan. Kerana hak Allah berdasarkan pada tolak ansur (al-Musamahah). Satu-satunya dosa yang diperbuat hamba tidak dapat diampunkan Allah SWT ialah dosa menyekutukan Allah ini, seperti telah dijanjikan-Nya, tidak akan beroleh keampunan selama-lamanya. Marilah kita berlindung kepada Allah daripada terjerumus dalam golongan orang yang menyekutukan ini.

Dosa jenis yang kedua ialah dosa bersangkutan dengan hak makhluk. Ini berlaku apabila seseorang tidak memberi atau melanggar hak orang. Dosa ini lebih berat dan lebih sukar untuk memperolehi keampunan. Bahkan, sebahagian daripadanya akan dihukum qisas atau lebih dahulu meminta dimaafkan (diizinkan) oleh orang berkenaan kepada orang yang dilanggar haknya. Hal ini harus dilakukan semasa di dunia. Oleh kerana itu, hak diantara sesama makhluk berdasarkan kepada kekerasan.

1.2 DOSA KECIL DAN DOSA BESAR

Dosa besar ialah dosa yang berkaitan dengan perlanggaran terhadap hak seperti menyalahi dan melanggar kewajipan kepada Allah, kepada masyarakat atau kepada seseorang.

Sebenarnya, dosa besar tidak dapat diberi jumlah dan hadnya. Namun, untuk memudahkannya dapat diambil sebagai satu takrif seperti berikut:

"Setiap perkara yang wajib hudud ke atas perlakunya semasa di dunia atau setiap
dosa yang dijanjikan dengan balasan neraka oleh Allah di akhirat kelak."
Walaupun begitu ada seorang ulama cuba memberi batas jumlah dosa besar itu kepada tujuh belas macam. Ulama yang dimaksudkan itu ialah Abu Talib al-Makki. Pembatasan jumlah ini berdasarkan pada hadis-hadis yang berikut:

a) Bertempat di hati ada empat perkara:
1. Syirik
2. Berkekalan dalam maksiat
3. Putus asa akan rahmat Allah
4. Merasa aman daripada makar Allah

b) Bertempat di lidah ada empat perkara:
1. Kesaksian yang jahat
2. Menuduh wanita baik-baik berzina
3. Sumpah palsu
4. Sihir

c) Bertempat di perut ada tiga perkara:
1. Minum arak
2. Menuduh wanita baik-baik berzina
3. Memakan riba

d) Bertempat di kemaluan ada dua perkara:
1. Berzina (bersetubuh tanpa nikah dan bukan dengan hambanya)
2. Meliwat (bersetubuh melalui dubur)

e) Bertempat di tangan ada dua perkara:
1. Membunuh
2. Mencuri

f) Bertempat di kaki ada satu perkara:
1. Lari dari medan perang.

g) Di seluruh tubuh ada satu perkara:
1. Derhaka kepada kedua-dua ibu bapa

Menurut para ulama muktabar yang lain, jumlah dosa besar lebih banyak lagi daripada sekadar tujuh belas, sebagaimana yang disebutkan di atas tadi. Al-Haithami, misalnya, di dalam kitabnya 'Al-zawajir' menyebutkan jumlah dosa besar hampir lima ratus macam banyaknya. Selain itu, menurut al-Zahabi pula di dalam bukunya 'Al-Kabair' menyebutkan tujuh puluh macam, seperti memasukkan ke dalam kategori ini memukul atau menyakiti anak yatim, kerana perlakuan seperti ini lebih besar dosanya daripada memakan hartanya.

Walaupun demikian, dosa kecil ynag dilakukan secara berterusan boleh menaikkan darjatnya menjadi dosa besar. Di samping itu, dengan perkataan lain, jika dosa kecil dilakukan berlama-lama, maka ia boleh bertukar menjadi dosa besar.

Ibnu Mas'ud berkata: "Orang yang beriman dapat melihat dosanya seolah-olah ia berada di kaki gunung, ia amat takut akan dosa itu jatuh menimpa kepalanya. Dan orang-orang yang berdosa itu tidak ubah seperti melihat lalat mengerumuni hidungnya lalu ia menghalaunya."

Anas bin Malik berkata bermaksud,"Betapapun kecilnya dosa yang kamu lakukan, namun kami pada masa hidup Rasulullah menganggap hal tersebut sebagai dosa besar."

Dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar disebabkan hal-hal yang berikut:

a) Kerana senang hatinya melakukannya dan memuji perbuatan itu.
b) Kerana bermudah-mudah dengannya semata-mata mengharapkan rahmat dan kemurahan
Allah.
c) Kerana sengaja menunjuk-nunjuk setelah memperbuatnya.
d) Orang alim yang melakukannya. Hal ini, ia mendapat dua dosa besar iaitu; pertama, kerana
memperbuat dosa dan kedua menunjuk-nunjuk.

Penyakit hati merupakan dosa yang paling dikeji dan membawa akibat yang lebih dahsyat berbanding dosa yang lain. Sebab, dengan adanya penyakit hati itulah yang mnedorongnya melakukan hal-hal yang buruk dan negatif.

Cara untuk mengubati penyakit hati hanya dua perkara:
1. Mengenalpasti penyembuhannya, kerana betapapun kuatnya sesuatu ubat, tapi jika
digunakan untuk menyembuhkan penyakit yang tidak bersesuaian dengan ubat tersebut,
maka bukan sahaja penyakit itu dapat disembuhkan, malah mungkin penyakit akan
bertambah.
2. Pengetahuan yang benar (makrifah). Tanda-tanda yang menunjukkan adanya makrifah
pada diri seseorang, salah satu diantaranya ialah timbulnya cinta kepada Khaliqnya.
Kerana orang yang benar-benar mengenal Allah ialah mendahulukan hak-hak Allah
daripada apa pun yang lain.


"Ya Allah, kurniakanlah kepada kami nikmat mencintaiMu dan mencintai
orang yang dicintai-Mu dan jadikanlah setiap usaha dan perbuatan kami
sebagai pendorong untuk mendekatkan diri kami lebih mencintai-Mu."

Sunday, November 8, 2009

kepayahan hidup

Hidup ini penuh cabaran dan dugaan. Dalam hidup ini juga perlulah meminta pertolongan dari Allah. Kita tidak mudah berputus asa dan teruskan kehidupan kita sebagai insan yang ingin kecapi kejayaan di dunia dan akhirat.